8
February

Graduan Dayak perlu rebut peluang perniagaan

9 November 2015

BINTULU: Graduan Dayak di bahagian ini disaran agar berdaya saing serta bijak merebut peluang perniagaan, ekonomi dan sebagainya yang berkaitan pembangunan diri supaya dapat bersaing dalam dunia global yang semakin mencabar pada masa kini.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pembangunan pesat dialami Bintulu khususnya projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di wilayah tengah negeri ini, secara tidak langsung menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada lepasan sekolah dan graduan institusi pengajian tinggi.

"Apa yang lebih penting ialah pembangunan pesat dalam industri berat dan sederhana di bahagian ini secara tidak langsung membawa kepada perkembangan pesat industri hiliran khususnya dalam bidang perniagaan dan perkhidmatan yang boleh diceburi graduan Dayak,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Pengumpulan Dana Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) Bintulu yang diadakan di Dinner World Restaurant Bintulu, di sini malam kelmarin (Sabtu).

Sambil menyifatkan semakin ramai graduan Dayak menceburi bidang perniagaan dan perindustrian di sini, Tiong berharap mereka akan terus mengekalkan daya tahan dalam bersaing secara sihat dengan kaum lain di bahagian ini bagi.

"Saya dalam pada itu berharap SDGA akan membuka mata dan minda graduan di luar sana agar menyokong usaha ahli persatuan dalam memartabat graduan Dayak khususnya melalui perbincangan serta program anjuran persatuan berkenaan," jelasnya.

Terdahulu,  Pengerusi SDGA Bintulu Cornelius Roy Jagah berkata, pihaknya akan berganding bahu dalam memberi kesedaran mengenai kepentingan pendidikan khususnya buat masyarakat di luar bandar.

Semua ini jelasnya bagi membolehkan pelajar Dayak yang masih berada di bangku sekolah mengenali pelbagai peluang pendidikan yang boleh diikuti sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Apa yang menjadi misi serta visi SDGA ialah memberi kesedaran bahawa ilmu merupakan satu kuasa yang membolehkan Dayak maju setanding dengan komuniti lain kerana tanpa pendidikan akan membantutkan impian mereka untuk mencapai apa yang mereka inginkan pada masa depan,’’ ujarnya.

Pada majlis berkenaan, Tiong turut mengumumkan pemberian sumbagan sebanyak RM20, 000 untuk persatuan itu menjalankan pelbagai program khususnya yang berkaitan pendidikan serta program tahunan persatuan terbabit.

Timbalan Residen (Sosial) Bahagian Bintulu Richard Michael Abunawas dan Presiden SDGA Dr Dusit Jaul antara yang hadir pada majlis berkenaan.

(Taken from Utusan Borneo)

 

Utusan Borneo dated 10th November 2015 (Iban Language)

Category : Press

No comments yet.

Sorry, the comment form is closed at this time.

Our Activities
image027.jpg picture4.jpg Picture 130.jpg image024.jpg
Get the Flash Player to see the slideshow.