Press Archives

Kerjasama dengan China untuk majukan pertanian Sarawak

Tuesday, 15 August 2023

R&D menjadi nadi kepada perkembangan dan kelestarian sektor industri pertanian di Sarawak, kata Dr Rundi

Dr Rundi (tengah duduk) diapit Han (tiga kanan), Martin (dua kanan), Dr Jawing (tiga kiri) dan Dr Adrian (kiri) bergambar kenangan bersama delegasi NAU, China di pejabatnya hari ini. – Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) menjadi nadi kepada perkembangan serta kelestarian sektor industri pertanian di Sarawak kata Menteri Industri Makanan, Komiditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Justeru, untuk tujuan itu beliau melihat kolaboratif dengan Nanjing Agricultural University (NAU) dari Nanjing, wilayah Jiangsu, Republik Rakyat China akan banyak membantu dalam sektor berkenaan di negeri ini.

“Dengan pengenalan dan perbincagan kami tadi, saya melihat kita boleh mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan China sebagai sebuah negara yang telah lama maju… jauh daripada kita dalam bidang pertanian.

“Pada masa yang sama, kita turut merancang menjalankan kerjasama dengan Belanda, Australia dan banyak lagi.

“Saya mengalakkan semua perkara berkaitan pengetahuan dalam bidang pertanian untuk kelestarian industri,” katanya ketika bercakap pada sidang media selepas dikunjungi delegasi NAU bersama ahli Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) di pejabatnya di sini hari ini.

Antara perbincangan mereka termasuk untuk menggalakkan pelajar lepasan ijazah di Malaysia menyertai program sarjana dan doktor falsafah dalam bidang berkaitan yang akan memberi faedah kepada Sarawak.

Sebelum ini, NAU sejak ditubuhkan 120 tahun yang lalu telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan SDGA yang disaksikan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu semalam.

NAU pernah membantu Laos dalam membangunkan sumber manusia dan pembangunan kapasiti bukan sahaja untuk menghasilkan dan melatih malah usaha mengukuhkan industri di Laos berkaitan penanaman padi.

Dekan Kolej Pengajian Antarabangsa (Ekonomi dan Pengurusan) NAU Profesor Han Jiqin berkata pihaknya dalam rangka lawatan tiga hari ke Sarawak untuk meneroka dan mengukuhkan kerjasama dalam kajian berkaitan pertanian yang dijalankan oleh NAU.

“Ia bagi melihat peluang dalam pembangunan kapasiti dan kolaboratif seterusnya, kita akan mencari kawasan yang akan kita pergi terlebih dahulu seperti padi, ternakan atau ubat-ubatan.

“Pagi ini kita telah berbincang dan mengenal pasti beberapa perkara yang mempunyai persamaan minat antara kedua-dua pihak.

“NAU pada tahun ini telah menjalankan banyak usaha untuk menambah baik dan memodenkan sektor pertanian dan meningkatkan pendapatan para petani,” ujarnya.

Kita menyediakan generasi muda dengan lebih banyak peluang dengan suasana persekitaran yang kondusif dalam menjalankan sektor pertanian.

Pada masa depan, generasi muda menjadi lebih penting dalam memainkan peranan mereka untuk memodenkan pertanian.

Sebelum ini, NAU juga telah berkolaboratif dengan 30 negara dalam pembangunan kapasiti dan menawarkan biasiswa untuk para pelajar ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah.

Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Martin Ben, Presiden SDGA Dr Jawing Chunggat dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr Adrian Susin Ambud.

(Taken from Utusan Borneo)

Download news attachment