Motivational Program

Program Motivasi Pecutan Akhir SPM – SMK Sebauh

Tuesday, 9 April 2024

Program Motivasi Pecutan Akhir SPM adalah program yang dianjurkan untuk pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 agar dapat menyuntik semangat untuk belajar bagi mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti. Selain itu, program ini juga memberi peluang untuk para guru memberikan sokongan dan tunjuk ajar dalam sesi pembelajaran dalam kelas. Ini akan membantu pelajar lebih bermotivasi untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjawab soalan peperiksaan dengan lebih yakin. Oleh itu, sekolah juga secara tidak langsung dapat mencapai misi mereka bagi meningkatkan kecemerlangan sekolah melalui keputusan SPM cemerlang bagi tahun 2023.

Program ini juga adalah hasil kerjasama antara Panitia Matematik SMK Sebauh dengan Sarawak Dayak Graduates Association (SDGA) Bintulu Liaison Committee.

Selain itu, penceramah-penceramah yang dijemput juga telah membimbing dan menyedarkan pelajar tentang tanggungjawab mereka sebagai pelajar dalam menimba ilmu pengetahuan untuk masa depan yang terjamin dan kesedaran tentang kepentingan peperiksaan SPM ini bagi menentukan hala tuju langkah seterusnya setelah SPM. Hasil dari suntikan nasihat daripada penceramah juga memotivasikan pelajar untuk lebih berkeyakinan dalam menghadapi peperiksaan yang akan datang.

Matlamat program adalah untuk memberi motivasi kepada pelajar agar lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan SPM yang akan datang. Pelajar akan lebih terbuka minda, cekal mental dan akal serta hati yang lebih tenang dalam menjawab soalan-soalan peperiksaan nanti serta terdorong untuk menuju ke arah kebaikan dan keinsafan diri.